Rabu, 22 Oktober 2008


AHAD-19 OKT Julung-julung kalinya Kampung Tasek mendapat kunjungan hormat dari seorang Menteri Besar (MB) pada 19 Oktober 2008.Beliau menghadiri Majlis Berhari Raya bersama penduduk kampung itu yang dianjurkan oleh JKKK KG.Tasek itu yang berlansung di Taman Kanak-kanak KG. Tasek.

Kehadiran tetamu menjangkau hampir seribu orang tersebut dilihat telah berjaya mencapai matlamat penganjurannya. Majlis yang diserikan dengan alunan nasyid pelajar SRAR Kg. Tasek telah memikat hati sebahagian hadirin yang datang.

Walaupun dalam keadaan padang kanak-kanak yang sungguh becak akibat hujan lebat pada sebelah malam, hadirin tetap setia mendengar ucapan Menteri Besar dengan penuh semangat. Antara lain MB mengajak masyarakat setempat sama-sama kembali kepada fitrah asal kejadian manusia sesuai dengan seruan agama.Penduduk disaran supaya sentiasa menjaga syariat Allah. Terutama solat berjemaah di masjid .


Penduduk diingatkan janganlah hendaknya hanya berlakon ketika bulan Ramadhan sahaja memenuhi masjid sedangkan pada bulan-bulan seterusnya tidak berbuat demikian.Ujarnya lagi,kuasa yang Allah berikan kepada beliau yang bersifat sementara ini akan digunakan sebaik mungkin untuk mengajak penduduk Perak kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Rata-rata penduduk melahirkan rasa kagum dengan sifat ramah yang ditunjukkan oleh MB. Ketika MB beredar untuk pulang sambil tersenyum dan menyapa kaum ibu yang berada di bahu jalan dengan bahasa peraknya "Apa kabo Yong”. Semoga sapaan tersebut dapat melembutkan hati-hati penduduk kampung untuk terus menyokong kerajaan baru yang mendokong lima prinsip yang menjadi teras dalam pentadbirannya iaitu keadilan,beramanah, ketelusan berwibawa dan berkebajikan.

Sementara itu,Encik Mohd. Ridzuan b. Jamaluddin selaku Pengerusi JKKK Kg. Tasek dalam ucapan alu-aluannya memberitahu bahawa program yang dijalankan pada hari tersebut adalah berkat kerjasama Ajk JKKK yang baru ditubuhkan selepas pilihan raya baru-baru ini memulakan aktiviti hari ini dimulakan dengan kewangan kosong kerana kepimpinan lama enggan menyerahkan segala eset yang mencecah RM 20,000 !

Walaubagaimanapun JKKK Kg. Tasek dapat menjayakan program pada hari ini dengan jayanya hasil sumbangan para dermawan dan orang perseorangan. Menurut beliau, Wang bukanlah segalanya dan beliau berikrar akan terus membantu penduduk kampung menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi. Selain dapat menubuhkan Tabung Pendidikan untuk anak-anak Kg. Tasek yang berjaya memasuki Universiti Awam, Barisan JKKK percaya dapat menjalankan aktiviti lain yang akan memberi manafaat kepada seluruh penduduk kampung.

Majlis pada hari itu diserikan lagi dengan cabutan nombor bertuah dan sumbangan hari raya untuk golongan yang kurang bernasib baik.


www. Husnul khatimah blogspot.com.my

Tiada ulasan: