RAMADHAN 1429
Ramadhan makin jauh meninggalkan kita yang tinggal hanyalah kenangan 1429 terlalu indah.Kekuatan fizikal yang Allah kurnia untuk diri yang kerdil ini diharap mampu menampung kekurangan diri selama ini...Semoga kekuatan yang sedikit ini mampu menjadi pemngkin untuk kuterjahi ramadhan yang akan datang....
1) Ramadhan bulan al Quran - hidup tanpanya adalah hampa walau dipenuhi segala nikmat dan kesenangan. Al Quran adalah ubat dan penawar kecelaruan kehidupan.
2) Ramadhan bulan ketaqwaan - Setiap yang beriman mesti mengimpikan untuk semakin mendekati dan mendampingi tuhannya di setiap masa dan langkah. Tiadalah jalan untuk mendekatiNya selain taqwa. Memperolehi taqwa adalah pemburuan setiap hamba yang beriman.
3) Ramadhan bulan al jihad - Jihad adalah berkerja keras dan bersungguh - sungguh. Jihad adalah berkeringat menahan diri daripada godaan duniawi, berpeluhan melonjakkan diri ke alam samawi yang lebih tinggi dan bersembur darah mempertahankan iman dan agama. Bermula dengan melawan serakah nafsu dan memuncak dengan melawan musuh Islam dengan segenap harta dan kepunyaan. Setiap muslim adalah mujahid semestinya. Hidupnya dipenuhi episod perjuangan.
4) Ramadhan bulan kesabaran - Sabar adalah sifat paling mulia didamba muslim. Ramadhan menemukan kita dengan keindahan memiliki sifat sabar. Ramadhan menjadikan kita teruja dan kepinginan untuk mencontohi mereka yang bersabar ( as saabirin ). Janji Allah adalah menggiurkan sekali untuk mereka.
5) Ramadhan bulan kebaktian - Berbakti adalah pengenalan diri setiap muslim. Hidup berbakti adalah diari setiap muslim. Seawal kebaktian adalah beriman kepada Allah dan mendirikan solat. Ia memanjang dengan menyumbang segala kepunyaan demi kebahagiaan semua insan dan mkhluk ciptaan Allah. Ramadhan mengajar kita untuk hidup penuh pemurah.
6) Ramadhan bulan kemenangan - Ramadhan mengajar kita bahawa setiap kita adalah pemenang di dunia ini. Kekalahan adalah perjalanan, sementara kemenangan adalah destinasi. Dengan Allah, tiada musuh yang tak akan kalah.
7) Ramadhan bulan puasa dan bulan qiamul lail - Puasa adalah tiang rukun agama. Puasa adalah perisai setiap muslim. Justeru di dalam menempuh badai ujian, setiap muslim harus menjadikan ibadah puasa sebagai senjatanya yang tak lekang. Manakala solat dan beribadah di malam hari adalah cahaya. Kegelapan malam adalah menakutkan. Dalam kegelapan itulah setiap yang bangun beribadah membina keberanian. Mereka kekal dalam kecerahan 24 jam. Ibu malam adalah Lailatul Qadr.
Begitulah ingatan hidayat Ramadhan yang mesti disimpul kejap di dalam ingatan setiap kita.
Hari raya memberikan kita satu kekuatan untuk membina keazaman baru dalam meneruskan kehidupan yang lebih mulia dan bermaruah. Justeru bersamalah menjadikan setiap bulan adalah Ramadhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan